29 March 2013

KETIKA SEMUANYA ADALAH KESILAPAN


" walaupun langkah dan tapak ini kecil

namun tidak pernah harapan itu hilang"




FIRMAN ALLAH YANG S.W.T yang bermaksud :

"  berdoalah kamu kepada-KU, nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu.Sesungguhnya, orang yang sombong ,takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-KU ,akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina." - surah al- Mukmin:60


DI satu sudut dia termenung. Merenungi jauh kedalam diri sendiri. Melihat mengapa hidupnya begitu teruk. Keliru dengan pelbagai persoalan. Namun semuanya tidak punya jawapan.Persoalan itu terus menerus menusuk  fikiran dan kalbunya.

Akhirnya ,dia terdengar satu alunan muzik. Hanya beberapa patah perkataan Bahasa Inggeris sahaja yang difahami. Tetapi yang pasti,antara lirik itu menyebut Insya-ALLAH. Menarik benar lagu itu. Segera dia merenungi keseluruhan lirik sambil membandingkan keadaan dirinya.

Ada kala dirinya seperti tidak mampu lagi meneruskan hidup.Terasa sangat kehilangan. Tapi, tidak dia ketahui entah apa yang hilang sebenarnya. Terus terang ingin sahaja dinyatakan bahawa dirinya begitu kesunyian. Walaupun mampu melihat ,tetapi semua pandangan seperti kelam malam.

Begitu juga kegelapan yang menyelubungi seluruh jiwanya.Diri berasa begitu tidak berdaya.Dia hilang daya melihat jalan mana yang harus dipilih. Mahu ke kanan  atau ke kiri. Depan atau belakang. Tidak mahu ditentukan lagi.

Setiap kali jua, dirinya melakukan satu lagi kesalahan. Pintu taubat yang dilihat seolah-olah sudah tertutup rapat. Tidak janggal untuk dikatakan bahawa ada masa dirasakan sudah terlambat sebenarnya untuk dia mencari jalan taubat. Kali ini daya teramat lemah.

Ada masa juga dirinya menjadi bingung melihat keputusan-keputusan yang dilakukan itu salah.Selalunya, keputusan sebegini menghantui fikirannya. Hati dia kemudian penuh dengan rasa malu dan bersalah.Jalan mana lagi yang perlu dipilih?

Namun dia tetap  cekalkan hati. Usah ada rasa putus asa.Walaupun langkah dan tapak ini kecil , tapi tidak pernah harapan itu hilang.Kerana yakin ,ALLAH S.W.T selalu disisinya. Insya'Allah ..akan dapat dia bertemu jua jalan cahaya.

Begitulah cerita tentang seorang yang pernah kehilangan arah hidup.Walau berkali-kali cuba bangkit,namun selalunya dia tersungkur kembali. Ketika di rasakan diri sudah bersedia kembali kepada ILAHI,setiap kali itulah jua dia terjatuh.

Bukan sekali dua dia melakukan kesilapan dalam memilih. Banyak kali.Cuba disandarkan harapan kepada manusia ,semua mengecewakan. Ditekupnya kedua belah tangan ke muka .Cuba bertanya akan sesuatu ,mengapakah dia selalu tersilap memilih?

Terlalu jahil rasa dirinya .Setiap kali cuba mendekatkan diri dengan TUHAN ,hatinya bagaikan tersedar bahawa selama ini dia terlalu jauh.Entah kemana dia menghilangkan diri selama ini.Hidupnya tidak pernah punya makna apa-apa.

Setiap orang yang ditemui ,dia akan bertanya apakah mereka dapat membantunya mencari jawapan terhadap persoalan demi persoalan? Tetapi ramai yang menolak. Memaksanya mencari sendiri jawapan itu. Hatinya semakin memberontak.Lantas keputusan -keputusan nya terus menemui kesilapan.


Sehinggalah pada hari itu. Al-Quran yang lama tersimpan di atas rak sudah berdebu.Dia membuka helaian demi helaian.Cuba membaca tapi dia sudah tidak tahu. Hanya terjemahannya sahaja yang difahami. Itupun kerana ia Bahasa Melayu.

Matanya tertumpu kepada firman ALLAH S.W.T seperti ayat dinyatakan tadi. Benar,barulah sedar selama ini dia hanya meminta kepada manusia.Tidak kepada ALLAH TAALA. Tahulah dia bahawa DIA sentiasa melihatnya dan sedia mengabulkan doa.Walaupun sedar bahawa diri bukan sealim mana,sekurang-kurangnya dia tahu masih layak bermohon kepada ILAHI.

Kini barulah dia mengerti. Ketenangan dan jalan yang dicari selama ini tidak berada didalam genggaman manusia. Sebenarnya ,dia sedang mencari TUHAN Yang Maha Esa.Memburu  jalan pulang ke pangkuan ILAHI. Segala kekecewaanya kini diluahkan kepada ALLAH S.W.T. Dia tahu ,ketika segala-gala seakan tidak pernah menyebelahinya. Ya Rabb masih ada membuka pintu kepadanya.


* petikan sub topic dari  buku " kita tenggelam dalam NAFSU karya Sofian Resali "

No comments: